PETALING JAYA: Sekatan penerbitan media daripada terus melaporkan sesuatu yang dianggap 'buruk' tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah, kata Tan Sri Rafidah Aziz. Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, pihak yang bertanggungjawab perlu mula memberikan orang ramai fakta berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu-isu lain. "Kita boleh mengharamkan beberapa penerbitan. Ia tidak menyelesaikan apa-apa, percayalah. Semua ini hanya membuatkan orang ramai lebih marah. "Lebih memburukkan keadaan. Kini terdapat rungutan lain terhadap Kerajaan," tulisnya di laman Facebook pada Sabtu. Rafidah berkata demikian sebagai mengulas mengenai keputusan Kementerian Dalam Negeri untuk menggantung akhbar The Edge Financial Daily dan The Edge Weekly selama tiga bulan.