suria

1MDB: MT Umno Bincang 'Hati Ke Hati'

PETALING JAYA: Kontroversi dakwaan penyelewengan membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang akan berlangsung Jumaat ini.

Ahli MT Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, isu berkaitan 1MDB akan dibincangkan secara 'hati ke hati' pada mesyuarat bulanan parti itu nanti.

"Pada 31 Julai ini semua anggota MT akan bincang mengenai pendekatan terbaik...kita bincang hati ke hati.

"Akhirnya walaupun mungkin ada perbezaan pendapat, yang penting impak dan keputusannya akan diterjemahkan pada perbncangan itu nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini, Isnin.

Beliau yang juga pengerusi LKIM berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan terbaharu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kerajaan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan permasalahan negara terutama isu skandal 1MDB.

Jika tidak, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata isu itu akan menjadi bebanan kepada Umno sebagai parti yang mendukung kerajaan.

Mengulas lanjut Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut akan memberikan taklimat khas kepada wakil Umno bahagian mengenai kontroversi 1MDB pada Jumaat ini.

"Ini adalah bukti keterbukaan yang ditunjukkan oleh Presiden Umno untuk beri taklimat kepada semua kepimpinan parti," katanya.

Pada Jun lalu Najib telah mengadakan taklimat yang sama kepada wakil Umno peringkat bahagian berhubung kontroversi 1MDB.

1MDB, MT Umno, Irmohizam Ibrahim

Artikel Lain