suria

'Dubsmash' Bantu Kurangkan Tekanan - Pakar Psikiatri

KUALA LUMPUR: Video aplikasi 'Dubsmash' yang kini menjadi kegilaan warga netizen di laman Facebook dan Instagram sejak kebelakangan ini dilihat sebagai platform untuk mengurangkan tekanan.

Pakar Perunding Psikiatri Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata aplikasi 'lip syncing' yang membolehkan pengguna telefon pintar memilih senarai petikan yang disediakan seperti lagu dan rakaman audio daripada filem dalam pelbagai bahasa untuk rakaman sendiri itu membantu mewujudkan persekitaran yang sihat antara pengguna media sosial.

"Ia sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat Malaysia untuk berkongsi saat-saat kegembiraan dengan orang lain melalui rangkaian media sosial. Video dubsmash ini menjadi lebih viral pada musim perayaan sehingga ada yang memberi ucapan dengan menggunakan aplikasi itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pensyarah Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya berkata individu yang memuat naik lebih tiga video sehari berkemungkinan terjebak dengan fobia sosial.

"Tidak boleh dinafikan bahawa terdapat segelintir peminat dubsmash ini sebenarnya fobia sosial...mereka takut dan berasa kurang selesa untuk bersosial, jadi mengambil jalan untuk bersosial 'sehala' seperti muat naik video sebegini," katanya.

Sementara itu, Ketua Program Kerja Sosial, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Mohd Suhaimi Mohamad berkata demam dubsmash yang melanda generasi Y mendatangkan pelbagai implikasi positif walaupun ia hanya trend sementara.

Beliau berkata peminat aplikasi itu terdedah kepada tiga kesan positif iaitu dari segi fizikalogi, psikologi dan sosiologi.

"Melalui video dubsmash ini, mereka dapat mewujudkan rantai sosial yang sihat kerana mereka mungkin akan mendapat banyak 'like' dan 'followers'. Ia akan membantu untuk mendapatkan lebih ramai kawan.

"Selain itu, otak peminat dubsmash juga akan sentiasa cerdas kerana mereka harus mempunyai daya penghafalan dan kreativiti yang tinggi untuk menghasilkan sebuah video dubsmash," katanya.

Mohd Suhaimi berkata aplikasi video tersebut juga membantu untuk membina keyakinan diri seseorang berikutan individu itu perlu berani memuat naik video mereka di khalayak ramai dalam media sosial tanpa perasaan malu atau rendah diri.

Pada masa sama, Mohd Suhaimi juga menasihati peminat dubsmash agar bersikap bersederhana dan berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa ketagihan aplikasi baharu itu.

Bagi seorang peminat dubsmash, Siti Neira Amirul, 19, menghasilkan video aplikasi itu adalah hobi terbaharunya.

"Dulu hobi saya berbasikal tetapi sejak beberapa bulan ini, saya lebih suka menggunakan masa lapang untuk menghasilkan video dubsmash. Ia sangat seronok tetapi saya jarang memuat naik dalam media sosial," kata pelajar yang menunggu keputusan untuk memasuki universiti itu.

R. Thineswaran pula berkata dubsmash membantu dirinya untuk mengasah bakat terpendam seperti berlakon dan menyanyi.

Dubsmash. Psikiatri

Artikel Lain