SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa memerintahkan dokumen pindaan tuntutan saman RM100 juta yang difailkan keluarga Altantuya Shaariibuu berhubung kematian wanita itu diserahkan kepada defendan, Sirul Azhar Umar. Peguam keluarga itu, Ram Karpal Singh berkata perintah tersebut dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Soraya Othman di dalam kamarnya. Ram berkata dokumen tersebut akan dihantar kepada Kementerian Luar esok atau selewat-lewatnya Khamis ini untuk diserahkan kepada wakil konsulat di Sydney, Australia bagi disampaikan kepada Sirul Azhar. "Ia mungkin mengambil masa sehingga tiga minggu sebelum tarikh pengurusan kes," katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah di sini. Pindaan itu melibatkan beberapa penambahan keterangan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari lepas menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Sirul Azhar dan bekas anggota Unit Tindakan Khas Cif Inspektor Azilah Hadri kerana membunuh wanita itu, sembilan tahun lalu. Bagaimanapun, pada hari keputusan mahkamah diumumkan, Sirul Azhar telah melarikan diri ke Australia namun ditahan pada 20 Januari oleh pegawai imigresen Australia selepas Interpol mengeluarkan notis merah, dan ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney. Pada 4 Jun 2007, ibu bapa Altantuya, Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman tersebut terhadap Azilah, Sirul Azhar, penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda dan kerajaan Malaysia. Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan Altantuya, 28, pada 2006. Beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri sementara Azilah dan Sirul Azhar disabitkan kesalahan pada 2009. Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dengan membebaskan mereka daripada tuduhan berkenaan. Bagaimanapun, pada 13 Januari lepas, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan Sirul Azhar dan Azilah, serta menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka. Dalam kenyataan tuntutan, keluarga Altantuya mendakwa kematian wanita itu mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, yang melayakkan mereka dibayar pampasan serta ganti rugi teladan dan teruk. Mereka mendakwa Altantuya telah ditembak mati dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan C-4 oleh Azilah dan Sirul Azhar manakala cebisan mayatnya ditemui di satu kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam, pada 7 November 2006. Keluarga itu mendakwa Abdul Razak bersubahat dengan kedua-dua anggota polis terbabit untuk membunuh Altantuya. Keluarga Altantuya mendakwa akibat daripada perbuatan Azilah, Sirul Azhar dan Abdul Razak, mereka mengalami kehilangan dan kerugian terutama kedua-dua anak lelaki Altantuya yang kehilangan kasih sayang ibu serta satu-satunya pencari nafkah untuk mereka.