KUALA LUMPUR: Suasana sambutan rumah terbuka Aidilfitri Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil penuh ceria dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalan baharunya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Kediaman Shahrizat di Damansara Heights dipenuhi orang ramai sejak tengah hari Selasa. Antara tetamu yang hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang baharu, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Najib hadir bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor kira-kira pukul 6.45 petang. Beliau disertai Ahmad Zahid yang hadir kira-kira 10 minit kemudia. Kedua-dua mereka meluangkan masa selama kira-kira sejam di rumah Shahrizat. Majlis berkenaan adalah yang pertama dihadiri Ahmad Zahid selaku orang nombor dua kepada Najib. Rombakan kabinet seperti yang diumumkan Najib hari ini menyaksikan Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai timbalan perdana menteri, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang digugurkan.