suria

PM Ucap Takziah Kepada Keluarga Bekas Presiden India

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa mengucapkan takziah kepada keluarga dan sahabat bekas presiden India Dr APJ Abdul Kalam yang meninggal dunia, Isnin.

"Pemergiannya adalah satu kehilangan kepada masyarakat saintifik," kata Najib menerusi catatan terbaharu dalam Twitter beliau.

Dr Kalam meninggal dunia pada usia 84 tahun selepas rebah ketika menyampaikan syarahan di Shillong, Meghalaya, India pada kira-kira 9 malam (11.25 malam waktu Malaysia).

Laporan awal oleh media tempatan India menyatakan Dr Kalam mengalami serangan jantung.
Bekas presiden itu rebah semasa menyampaikan syarahan di Indian Institute of Management di Shillong pada kira-kira 6.30 petang (9 malam waktu Malaysia) dan dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia dua setengah jam kemudian.


Sebaik sahaja berita tentang kematiannya diumumkan, kalangan ahli politik dan ahli akademik menzahirkan penghargaan terhadap jasanya terutama dalam bidang pendidikan teknologi nuklear dan sains.

Anak kelahiran Rameswaram, Tamil Nadu itu merupakan presiden ke-11 India dari 2002 hingga 2007.

Dr Kalam juga dikenali sebagai 'missile man of India' dengan wawasan menjadikan India sebagai negara kuasa besar pada 2020.

Beliau banyak menyumbang ke arah usaha pembangunan wanita dan kanak-kanak dengan menggalakkan pendidikan dan celik huruf dalam kalangan penduduk miskin tegar.

Artikel Lain