suria

MT Umno: "Saya Akan Hadir" - Shafie Apdal

Shafie Apdal ketika ditemui pemberita di kediamannya.

PETALING JAYA: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang digugurkan daripada Kabinet berkata, tiada sebab untuk beliau tidak menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang akan berlangsung Jumaat ini.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, kehadirannya pada mesyuarat itu semata-mata kerana parti itu.

"Sebagai naib presiden parti, sudah tentu saya akan hadir.

"Saya akan terus mempertahankan kepentingan rakyat," katanya ketika ditemui di kediamannya pada malam Selasa.

Shafie antara anggota Kabinet yang digugurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, termasuk timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Enggan mengulas lanjut pengumuman Najib, Shafie berkata, selepas ini beliau juga akan hadir pada sidang Parlimen akan datang.

"Selepas ini saya duduk di bahagian Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), jadi tentunya lebih mudah ditemui nanti," katanya.

Ahli Parlimen Semporna itu dijangka meninjau kawasan yang diwakilinya pada hujung  minggu pertengahan bulan depan.

Sebaik tersenarai sebagai anggota Kabinet yang digugurkan, beberapa kakitangannya telah membantu untuk mengemaskan barangannya bagi mengosongkan pejabat menteri kemajuan luar bandar dan wilayah di Putrajaya.

Ketika berpeluang menemuinya di kediaman kerajaan di Jalan Bellamy, Shafie menerima kunjungan rakan dan saudara maranya termasuk keluarga isterinya, Datin Seri Shuryani Shuaib.

Keluarga itu juga akan mengosongkan kediaman rasmi itu dalam tempoh tiga bulan.

MT Umno, Mohd Shafie Apdal

Artikel Lain