PETALING JAYA: Siasatan terhadap isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu dilakukan dengan bebas, telus dan profesional serta berkesan tanpa sebarang campur tangan. Panel bebas yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, agensi-agensi penyiasat yang menganggotai Pasukan Petugas Khas juga tidak harus dikenakan apa-apa bentuk tekanan sepanjang melakukan siasatan. "Pasukan Petugas Khas yang terdiri Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan SPRM mesti diberi ruang seluas-luasnya untuk menjalankan siasatan tanpa rasa gentar dan takut akibat campur tangan pihak-pihak berkepentingan. "Kami dengan tegas menggesa agar integriti SPRM sebagai sebuah suruhanjaya pencegahan rasuah yang bebas, perlu dipertahankan dan tidak wajar dikompromi sama sekali," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, Rabu. Pengerusi kelima-lima panel bebas ini terdiri daripada Tan Sri Abu Zahar Ujang (Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah), Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah), Tan Sri Hamid Bugo (Panel Penilaian Operasi), Tan Sri Wilson Baya Dandot (Jawatankuasa Aduan) dan Tan Sri Johan Jaaffar (Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah). Menurut kenyataan ini, SPRM perlu dilihat sebagai sebuah suruhanjaya yang bebas dalam merancang dan menjalankan semua tanggungjawab yang diamanahkan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat. Justeru, kelima-lima panel bebas ini sebulat suara mahu siasatan menyeluruh dikendalikan dan hasilnya diumumkan kepada khalayak ramai secepat yang mungkin. "Ini perlu bagi mengurangkan jurang persepsi serta keyakinan yang kini kian melebar," katanya. Gesaan turut dibuat agar pihak Peguam Negara, yang memberi panduan dan nasihat perundangan kepada Pasukan Petugas Khas supaya memaklumkan dengan jelas perkembangan siasatan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap SPRM dan agensi-agensi penyiasat lain dalam Pasukan Petugas Khas. "Tindakan ini penting memandangkan SPRM hanya memberi tumpuan ke atas kes berkaitan SRC International, yang sebelum ini subsidiari 1MDB, manakala isu 1MDB disiasat oleh agensi penyiasat yang lain," katanya. Mereka juga memberi jaminan kepada orang ramai bahawa SPRM akan lebih mudah dan cepat menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional jika tidak wujud sebarang tekanan dan campur tangan mana-mana pihak. "Pada akhir siasatan, jika terkesan sebarang bentuk kesalahan di bawah lunas perundangan, maka agensi-agensi terbabit perlu mengambil tindakan sewajarnya mengikut kuasa masing-masing, termasuk SPRM di bawah Akta SPRM 2009," katanya. Selain itu, katanya, penting bagi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan hasil penemuan semua siasatan termasuk laporan Jabatan Audit Negara mengenai isu 1MDB kepada umum secepat yang mungkin. Ini bagi mengembalikan semula pandangan keseriusan dalam menyiasat isu IMDB sekian lama, terutamanya, memandangkan imej negara sudah tercemar dan juga keyakinan rakyat ke atas keberkesanan usaha SPRM sudah mula dipersoalkan. "Mengambil kira perkembangan semasa dalam negara, kelima-lima panel bebas yang mewakili suara rakyat ingin menegaskan bahawa perlu ada satu penyelesaian kepada isu ini secepat yang mungkin," katanya.