ALOR SETAR: Tidur beralaskan tikar getah,berbumbungkan atap bocor sudah menjadi perkara biasa bagi enam sekeluarga yang hidup dalam keadaan daif di Kampung Kubang Jawi 1, Kuala Kedah. Zainol Seman, 50, dan isterinya, Norizah Zainol, 36, serta empat anaknya berumur empat hingga 13 tahun telah tinggal di situ selama tiga tahun setelah merantau di beberapa tempat lain berikutan tidak mempunyai tempat tinggal. "Sebelum menetap di sini sejak tiga tahun lalu, kami sekeluarga banyak merantau kerana tidak mempunyai tempat tinggal tetap. Saya mengambil tempoh seminggu untuk menyiapkan rumah ini dengan menggunakan bahan-bahan terbuang seperti papan, buluh dan kain." "Apabila hujan lebat, pakaian dan barangan dalam rumah akan basah kerana atap dan dinding rumah yang berlubang selain atap akan diterbangkan jika angin kencang. Baru-baru ini juga ular tedung masuk melalui papan di bahagian dapur yang tidak tertutup," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini Rabu. Beliau berkata dia, isteri dan anak-anaknya juga terpaksa tidur di atas tanah beralaskan tikar getah apabila hujan turun dan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan kehadiran binatang berbisa yang mungkin masuk melalui dapur dan tandas yang hanya ditutup menggunakan papan dan kain buruk. Mereka enam beranak katanya, akan tidur berbaris beralaskan tikar getah di atas tanah apabila hujan dan jikalau cuaca baik baru kami tidur di bahagian atas yang beralaskan buluh. "Kami sudah biasa dengan keadaan ini kerana tidak mampu untuk membina rumah walaupun tinggal di atas tanah sendiri berikutan tidak mempunyai duit. "Saya hanya bekerja kampung dan memperoleh RM500 sebulan manakala isteri mengambil upah membuat kuih popia dengan bayaran RM70 sebulan dan ini tidak mencukupi untuk menampung pembiayaan persekolahan tiga orang anak dan keperluan barangan dapur. Duit untuk makan juga kadang-kadang tidak cukup, jadi makan apa yang ada sahaja," katanya. Norizah Zainol berdiri di dalam kediamannya yang daif. Menurut Zainol, beliau membina rumahnya di belakang rumah pusaka peninggalan ibunya yang kini dihuni kakaknya dan terpaksa membayar RM10 hingga RM20 kerana mengambil bekalan air dan elektrik daripada rumah kakaknya. "Tahun ini tahun pertama kami menerima bantuan daripada Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) sebanyak RM600 untuk setahun manakala pemohonan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ditolak kerana tidak cukup syarat," katanya. Beliau berharap ada pihak yang boleh membantu dari segi kewangan ataupun membina rumah untuk mereka sekeluarga di atas tanah sendiri. Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Zainol di talian 013-5902892 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional 02100-29-00066768-5.