suria

Ramalingam Fail Permohonan Batalkan Kandungan Surat RoS

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Strategik MIC K. Ramalingam memohon kebenaran semakan kehakiman bagi membatalkan kandungan surat Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada Jun lalu yang mengesahkan pelucutan keahliannya sebagai anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC.

Turut dilucutkan keahlian melalui surat yang dikeluarkan oleh RoS bertarikh 25 Jun lalu ialah bekas presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel, bekas naib presiden MIC Datuk S.Sothinathan dan Tan Sri S. Balakrishnan serta bekas setiausaha agung parti A. Prakash Rao.

Ramalingam memfailkan permohonan itu melalui peguam S.Selvam dan Kokila Vani Vadiveloo di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Selvam Shanmugam  and  Partners.

Ramalingam selaku pemohon menamakan RoS dan ketua pengarah RoS Datuk Mohammad Razin Abdullah sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Ramalingam memohon deklarasi bahawa surat yang dibuat oleh ROS adalah bertentangan dengan Seksyen 16 Akta Pertubuhan 1966 dan mendakwa tindakan RoS melucutkan hak asasinya sebagai anggota MIC melanggar Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut memohon deklarasi bahawa surat yang dibuat oleh RoS adalah melanggar Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan selain mendakwa RoS bertindak secara diskriminasi dan berat sebelah dengan segelintir anggota jawatankuasa pusat MIC.

Peguam Kokila ketika ditemui pemberita memaklumkan bahawa tarikh untuk mendengar permohonan tersebut belum ditetapkan oleh mahkamah.-- Bernama

Ramalingam, RoS, MIC

Artikel Sebelum

Artikel Lain