suria

Bunuh: Hukuman Mati Terhadap Tiga Bekas Pelajar Kolej Dikekalkan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati terhadap tiga bekas pelajar kolej yang dituduh membunuh pensyarah kurang upaya, Zara Eleena Omar Peter dan bapanya dua tahun lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22, Mohamad Sharafe Matt Noh, 21, dan Azizi Aizat Ibrahim, 22, mengemukakan rayuan terhadap hukuman mati yang dijatuhkan terhadap mereka oleh Mahkamah Tinggi pada Oktober tahun lalu.

Mahkamah itu bagaimanapun membenarkan rayuan oleh pihak pendakwaan terhadap tertuduh keempat, Muhammad Safwan Mohammed, 22, atas pertuduhan membunuh Zara.

Tertuduh diarahkan untuk membela diri.

Rayuan atas pertuduhan membunuh bapa Zara, Omar Peter Abdullah ditolak dan keputusan tersebut disahkan.

Terdahulu, Muhammad Safwan dibebaskan atas kedua-dua tuduhan membunuh Zara dan bapanya oleh Mahkamah Tinggi.

Tiga panel hakim yang diketuai Hakim Datuk Aziah Ali berkata, keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara dan tidak memberikan alasan lanjut.

Ketiga-tiga bekas pelajar Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics (KTAC) didakwa membunuh Zara Eleena, 23, yang mengajar subjek bahasa Inggeris di kolej tersebut antara pukul 1.30 pagi dan 2.30 pagi pada 9 Mac 2012.

Mereka juga didakwa membunuh bapa Zara, seorang pesara akauntan berusia 56 tahun antara pukul 11.30 petang pada 8 Mac 2012 dan 1.30 pagi, keesokan harinya.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan pembunuhan itu di sebuah rumah di Taman Kinrara, Puchong.

Artikel Lain