suria

Saya Sedia Hadapi Kemungkinan, Kata Mukhriz Berhubung Video Bocor Tersebar

Mukhriz Mahathir.

ALOR SETAR: "Saya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan," kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengenai pendedahan video Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan menceritakan semula perbualan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Klip video yang kini menjadi viral tersebut yang dilihat dirakamkan menggunakan peranti mudah alih dilaporkan menunjukkan Muhyiddin duduk bersama beberapa tetamu temasuk Mukhriz di kediaman bekas timbalan perdana menteri itu.

Mukhriz yang ditemui di rumah terbuka Hari Raya anjuran Umno bahagian Jerlun pada Khamis berkata: "Saya sedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan dan tiada keperluan untuk membuat spekulasi berhubung perkara tersebut.

"Saya melawat Muhyiddin untuk mengucapkan terima kasih kepada beliau. Beliau telah melakukan banyak kebaikan kepada Kedah semasa berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pendidikan.

"Beliau adalah timbalan presiden Umno, saya fikir tidak salah untuk saya melawatnya," kata Mukhriz.

Tambahnya, mereka yang membuat rakaman berhubung perbualan itu sepatutnya dipersoalkan.

Ditanya adakah kedudukannya sebagai Menteri Besar Kedah akan terjejas berikutan pendedahan klip video itu, Mukhriz berkata: "Saya tidak lihat apa yang saya buat adalah salah."

"Kuasa di tangan saya dikurniakan Allah, ia boleh ditarik balik pada bila-bila masa," jelasnya.

Artikel Lain