KLANG: Pengawal keselamatan, Subramaniam Gurusamy menyifatkan keluarganya berkemungkinan memperoleh sebarang petunjuk sekiranya serpihan bangkai pesawat yang ditemui di Pulau Reunion di Lautan Hindi dapat dibuktikan sebagai milik pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370. "Ia merupakan satu pengalaman menyeksakan yang begitu lama, yang tidak dipastikan sama ada orang yang anda sayang itu hidup atau sudah meninggal dunia," kata Subramaniam, 61, bapa kepada Puspanathan yang menaiki pesawat MH370. Kakitangan Petronas itu menaiki pesawat berkenaan bagi urusan perniagaan ke China. Puspanathan, 34, telah berkahwin, dan mempunyai dua anak lelaki, berusia dua dan empat tahun. Menurut Subramaniam, isterinya, A. Amirtham, 51, mula menangis apabila mendengar berita mengenai penemuan serpihan bangkai pesawat di Pulau Reunion. "Dia menonton berita di televisyen dan mula menangis lagi," kata Subramaniam, yang juga mempunyai seorang anak perempuan, Theanmoli, 27. Subramaniam berkata, isterinya mula mengasingkan diri selepas kehilangan anaknya dan jarang keluar rumah. "Setiap kali ada orang yang menyebut tentang anak lelaki kami, dia tidak keruan," katanya, sambil menambah bahawa adalah sukar bagi mereka yang tidak pasti sama ada anak lelaki mereka masih hidup atau sudah meninggal dunia.