suria

Penggunaan E-Rokok Masih Diteliti - Dr Subramaniam

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan sebelum membuat keputusan berhubung penggunaan rokok elektronik (e-rokok), kata Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Katanya, pertemuan dengan agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membincang kesan dan risiko e-rokok kepada masyarakat akan diadakan dalam masa terdekat.

"Pihak kementerian sebelum ini pun telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak, namun kita masih perlu memperhalusi penggunaan rokok elektrik lebih mendalam.

"Mungkin kita akan buat keputusan berhubung soal ini sama ada dalam sebulan atau dua bulan lagi," katanya dalam sidang akhbar di sini, Jumaat.

E-rokok adalah satu alat elektronik yang mensimulasi atau menyerupai cara merokok dan setiap kali disedut, cip komputer elektronik yang dikuasakan oleh bateri akan mengidupkan atomizer yang kemudian akan memanaskan cecair yang akan menghasilkan wap.

Baru-baru ini, laporan media mendedahkan ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengadun sendiri perisa ganja dan ketum bagi memenuhi permintaan segelintir penghisap rokok elektronik.

Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam berkata pekerja asing yang menghidap penyakit berjangkit, sama ada memasuki Malaysia secara sah atau sebaliknya, akan dihantar pulang ke negara asal.

Katanya dasar itu bertujuan mengelak penularan wabak penyakit di negara ini sekali gus mengurangkan beban kerajaan untuk memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada pekerja asing.

"Kita bimbang klinik dan hospital akan dibanjiri pekerja asing yang ingin mendapat rawatan. Oleh demikian, kita perlu menyaring kesihatan pekerja asing," katanya.

Dr Subramaniam mengulas tindakan Anggota Parlimen Sungai Siput, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj pada 20 Julai lalu yang memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman terhadap pelaksanaan Menteri Kesihatan berhubung garis panduan caj baharu bagi warga asing yang mendapat rawatan di klinik dan hospital kerajaan.-- Bernama

e-rokok, Dr Subramaniam

Artikel Lain