suria

MH370: "Kita Mungkin Tahu Kawasan, Tapi Sukar Kesan Bangkainya" - Pakar

PETALING JAYA: Para saintis berupaya untuk mengetahui sama ada serpihan yang ditemui di Pulau Reunion adalah milik pesawat penerbangan MH370 yang hilang atau sebaliknya.

Walau bagaimanapun, mereka memberi amaran bahawa itu tidak bermakna bangkai pesawat boleh ditemui dengan mudah kerana arus deras Lautan Hindi mampu menghanyutkan serpihan sejauh beribu-ribu kilometer.

"Mengenal pasti lokasi yang tepat adalah sangat sukar," kata Pakar Klimatologi dan Oseanografi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Fredolin Tangang.

"Tetapi sekurang-kurangnya, mereka mungkin dapat tahu di mana kawasannya (kemungkinan bangkai pesawat)."

Ahli-ahli sains, katanya, akan dapat mewujudkan simulasi dari mana kemungkinan serpihan itu datang dan mengikutnya untuk mencari punca.

Walau bagaimanapun, tidak ada petunjuk yang memberitahu sama ada MH370 atau sebahagian daripadanya berada di tengah lautan, di permukaan atau di dasar laut, katanya.

Selatan Lautan Hindi adalah yang ketiga terbesar di dunia, bersempadan dengan Asia, Afrika dan Oceania.

Ia juga adalah salah satu kawasan yang paling kurang dikaji dan mempunyai kedalaman maksimum hampir 8,000 meter.

Profesor Dr Maged Mahmoud Marghany dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata olakan atau pusaran lautan mungkin akan menghanyutkan serpihan MH370 ke barat dari kedudukan ia mungkin terhempas.

"Olakan ini kebanyakannya berlaku semasa musim monsun di Lautan Hindi pada Mac.

"Arus lautan bergerak dalam satu pusaran besar, bersama benda-benda dalam air dan bergerak pada kelajuan sekitar 50 km sehari," katanya.

Dr Maged berkata pergerakan semulajadi di lautan bermaksud bahawa mana-mana serpihan mungkin telah dihanyutkan dari Australia ke arah timur Afrika.

Tambahnya, arus lautan di sana juga bergerak melawan arah jam.

Artikel Lain