KUALA LUMPUR: Hari Pahlawan kali ini membawa seorang ahli perniagaan terkenangkan kejadian ngeri dan sedih apabila ibunya yang sedang hamil ditembak mati oleh komunis dalam insiden di kuaters polis Kuala Krau, Pahang, 67 tahun lalu. Ahli Perniagaan itu, Othman Mohd Yusoff merupakan sebahagian daripada tetamu pada sambutan Hari Pahlawan di Dataran Merdeka yang memaparkan semula kisah di kuaters tersebut. Ketika ditemuramah oleh The Star, Othman, 71, memberitahu, pertempuran antara polis dan komunis itu berlaku pada 9.30 malam, 26 Jun, 1948. Ketika itu, keluarganya merupakan sebahagian daripada penghuni kuaters berkenaan dan ibunya yang berusia 23 tahun, Mahami Kumel menjadi pejuang yang sedang bertempur dengan 30 hingga 40 komunis. "Ibu saya yang juga suri rumah telah dilatih menggunakan senjata. Dia terpaksa menggunakan senjata pada malam itu untuk melindungi saya dan abang ketika bapa kami sedang bertempur dengan komunis. "Dia masih memakai telekung solat ketika mula bertempur dengan komunis," ceritanya. Ketika itu, Othman yang berusia empat tahun dan abangnya telah dilipat di dalam tilam supaya tidak ditemui komunis. "Ibu saya terus bertempur dengan komunis melalui tingkap sehingga pukul 4 pagi. "Ketika ibu meninggalkan kami untuk membantu ayah bertempur di luar, ketika itulah dia ditembak mati," katanya. Othman berkata, kejadian itu telah membuatkannya lebih kuat dan berfikir untuk tidak cepat mengalah. "Insiden ini mengajar kita untuk tidak cepat mengalah walaupun menempuh dugaan sekuat mana sekalipun," tambahnya yang mempunyai lima anak dan 16 cucu. Turut hadir pada sambutan Hari Pahlawan ialah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.