KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata kerajaan agak terkejut mengenai surat tuntutan AirAsia Bhd berjumlah RM409 juta kepada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd pada Jumaat. "Kerajaan terperanjat (dengan surat tuntutan itu) kerana saya lihat tidak ada masalah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk pesawat berlepas dan mendarat, dan tidak ada satupun penerbangan yang dibatalkan. "Saya membuat tinjauan dengan syarikat penerbangan lain dan mereka semua kata okey," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai di sini, Sabtu. AirAsia dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata tuntutan adalah akibat kerugian dan kerosakan yang dialami syarikat akibat penggunaan klia2 serta Terminal Tambang Rendah (LCCT) sebelum ini. Syarikat itu juga mendakwa MAHB telah melanggar kontrak penjagaan selaku pengendali lapangan terbang sekaligus menyebabkan AirAsia menangung kerugian. Ab Aziz berkata pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebelum ini sudah membuat pengesahan bahawa klia2 layak untuk beroperasi, namun kementerian akan terus meneliti kes berkenaan.