PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar membidas laporan berita yang memetik 'sumber' bahawa seorang Timbalan Pendakwa Raya ditangkap atas arahan Perdana Menteri. "Berita-berita yang memetik 'kata-kata sumber' seperti di bawah adalah sungguh tidak bertanggungjawab dan berniat tidak baik. @PDRMsia," kata Khalid di Twitter pada Sabtu malam. Menerusi twit yang sama Khalid turut memuat naik paparan skrin berita ringkas daripada sebuah portal berita. Paparan skrin Twitter milik Khalid. Sementara itu dalam twit terdahulu yang ditujukan khas kepada Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Khalid menafikan bahawa perintah reman yang diminta untuk dua individu yang ditahan ditolak oleh mahkamah. "Tweet Dibawah Satu cubaan kelirukan Rakyat," kata Khalid bersama-sama paparan skrin twit Tian Chua. Bagaimanapun Khalid mengesahkan bahawa tiga individu telah ditahan bagi membantu siasatan yang melibatkan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown. Ketiga-tiga individu, yang dikaitkan dengan agensi-agensi dalam pasukan petugas khas menyelesaikan sesuatu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), ditahan berikutan beberapa laporan polis dibuat terhadap Rewcastle-Brown, katanya. Mereka ialah bekas ahli lembaga penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Tan Sri Rashpal Singh, ahli sekretariat kewangan dan pengubahan wang haram Jabatan Peguam Negara, Jessica Gurmeet Kaur dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Sazilee Abdul Khairi.