suria

SKMM Diarah Tangani Fitnah Alam Maya - Najib

KUALA KUBU BAHARU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) memperkemas undang-undang dan meningkatkan penguatkuasaan bagi menangani penyebaran fitnah di media sosial.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata sekiranya fitnah di media sosial dibiarkan berleluasa, ia akan mengubah paradigma pemikiran rakyat serta mewujudkan trend 'perbicaraan melalui media sosial'.

"Bila berdepan keadaan 'trial by social media' (perbicaraan melalui media sosial) kita sebagai anggota pentadbiran dah diisytihar bersalah sebelum dibicarakan.

"Tetapi bila sampai kepada pembangkang, itu semua dianggap tuduhan fitnah, dianggap tidak benar...bukankah ini agak aneh," katanya ketika merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Hulu Selangor di sini, Ahad.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Selangor Datuk Seri Noh Omar dan Ketua UMNO bahagian Hulu Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Najib berkata kerajaan tidak boleh menghalang kemajuan teknologi namun tidak boleh memberikan kebebasan mutlak hingga perkara yang tidak benar menjadi benar.

Beliau berkata UMNO juga perlu menjadi pengamal media sosial yang aktif dan menyediakan program tertentu bagi menukar persepsi rakyat.

"Hari ini persepsi lebih besar daripada realiti, kita perlu faham bagaimana situasi berdepan serangan alam maya supaya kedudukan parti kita lebih baik," katanya.

Tambahnya, anggota parti perlu memikirkan strategi bagi menarik sokongan rakyat dan tidak 'syok sendiri' dalam menjalankan sesuatu program.

Dalam pada itu, mengenai rombakan Kabinet baru-baru ini, Najib berkata beliau akan memastikan jemaah menteri menyampaikan perkhidmatan berkesan kepada rakyat.

Najib juga berkata tiga UMNO negeri yang dikunjunginya iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor telah menyatakan sokongan terhadap kepimpinannya.

Beliau turut melahirkan penghargaan atas sokongan itu dan akan menjadi dorongan kepadanya untuk terus memantapkan parti dan membawa kejayaan kepada negara.

SKMM, Fitnah

Artikel Sebelum

Artikel Lain