suria

Tiga Maut, Lima Cedera Kemalangan Di Baling

BALING: Seorang wanita dan dua anaknya maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di KM44.3 Jalan Baru Baling, berhampiran Kampung Balik Angin, Kuala Ketil Sabtu malam.

Ketua Polis Baling Supt Mat Daud Mat Hasan berkata dalam kejadian pukul 10 malam itu, Rubiah Abu Hassan, 59, dan dua anaknya Mohamad Tanizi Hamid, 36, dan Nur Shafiqah Hamid, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

"Ketiga-tiga mereka menaiki kereta Proton Wira bersama tunang Mohamad Tanizi, Zubaidah Ahmad, 36, yang cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani," katanya.

Semua jenazah mangsa telah dihantar ke Hospital Baling untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Mat Daud berkata ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Kulim ke Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah Baling ke Bukit Mertajam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pemandu pacuan empat roda terbabit tidak menyedari bahawa jalan yang dilalui sedang dalam pembinaan kerana keadaan gelap selain tidak mempunyai papan tanda amaran.

"Pemandu pacuan empat roda itu tidak menyedari keadaan sebenar jalan dan telah memasuki jalan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dinaiki keluarga tersebut," katanya.

Pemandu pacuan empat roda, Said Abdullah, 63, serta penumpang kenderaan itu, Salmah Din, 57, Che Minah Ahmad, 68, dan Nurul Zuliana Ramli, 20, cedera dalam kejadian itu dan dirawat di Hospital Baling sebagai pesakit luar, katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.23 malam dan tiba di lokasi kira-kira 30 minit kemudian.

Baling, Kemalangan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain