PETALING JAYA: Lebih ramai pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Peguam Negara akan dipanggil polis bagi membolehkan kenyataan mereka direkodkan. Ketika dihubungi pada Isnin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak menolak Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull akan disoal siasat. Terdahulu, polis menyoal siasat beberapa pegawai SPRM, dua pengarah bahagian dan seorang pegawai kanan berhubung dakwaan dokumen bocor berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Mohd Shukri Abdull. Pegawai penyiasat dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menghabiskan masa selama dua jam menyoal siasat Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zin di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya manakala Ketua Pesuruhjaya Forensik SPRM, Datuk I.G. Chandran disoal siasat selama tiga jam di Akademi SPRM, Kuala Lumpur. Penolong Kanan Pesuruhjaya SPRM, Tuan Ruslam Tuan Mat disoal di ibu pejabat polis Putrajaya. Pada Sabtu, polis menggeledah rumah Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ahmad Sazilee Abdul Khairi dan di pejabatnya Dokumen berkaitan siasatan 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International serta komputer riba turut dirampas. Tindakan itu dilakukan selepas penahanan bekas ahli lembaga penasihat SPRM, Tan Sri Rashpal Singh dan petugas di bahagian Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA), Jabatan Peguam Negara, Jessica Gurmeet Kaur. Mereka ditahan untuk membantu siasatan polis berhubung dokumen yang didakwa bocor.