suria

Tempoh Tahanan Reman Terhadap Tiga Aktivis Dipendekkan

Adam Adli (kiri) dan Ahmad Syukri.

KUALA LUMPUR: Aktivis Adam Adli Abdul Halim dan Ahmad Syukri Ab Razab dibebaskan selepas perintah tahanan reman terhadap mereka dipendekkan oleh Mahkamah Tinggi pada Selasa.

Kedua-dua mereka bersama dengan seorang lagi aktivis, Mandeep Singh ditahan pada 31 Julai lalu berkaitan perhimpunan yang dirancang di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Mereka ditahan reman sehingga 7 Ogos manakala Mandeep sehingga Selasa.

Adam Adli, 26, Ahmad Syukri, 30, dan Mandeep, 29, kemudiannya memohon untuk semakan semula perintah reman yang dikeluarkan Mahkamah Majistret.

Hakim Kamardin Hashim menolak permohonan tersebut dan memutuskan perintah reman tersebut selaras dengan peruntukan Seksyen 117 Kanin Prosedur Jenayah yang membenarkan penahanan selama lebih 24 jam untuk siasatan polis.

Namun, Hakim Kamardin bersetuju dengan peguam N.Surendran dan Gobind Singh Deo dengan berkata alasan diberikan pegawai penyiasat untuk memohon perintah reman selama enam hari tidak munasabah.

"Oleh itu, saya mengurangkan reman kepada empat hari. Maka tempoh reman berakhir hari ini, saya mengarahkan ketiga-tiganya dibebaskan selepas prosiding itu," kata Kamardin.

Kamar mahkamah yang sesak dengan penyokong dikejutkan dengan sorakan kuat berikutan keputusan tersebut.

Ketiga-tiga mereka disiasat kerana didakwa terlibat dalam aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Artikel Lain