PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akur dan tidak akan meneruskan prosiding siasatannya terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadual berlangsung pada Rabu. Naib Pengerusinya, Dr Tan Seng Giaw ketika dihubungi mengesahkan bahawa inkuiri terhadap syarikat pelaburan strategik kerajaan itu ditangguhkan selama tiga bulan sehingga Oktober depan. "Situasinya begini, kami sudah menerima surat penangguhan daripada Setiausaha Dewan Rakyat yang memaklumkan mengenai penangguhan prosiding 1MDB sehingga Parlimen bersidang semula pada Oktober. "Jadi saya tak fikir mereka akan buka bilik mesyuarat dan benarkan kami teruskan prosiding. "Bagaimanapun kumpulan Ahli Parlimen pembangkang akan hadir ke Parlimen untuk mengadakan sidang media khas pada pukul 11 pagi Selasa," katanya kepada mStar Online pada awal pagi Selasa. Pada Isnin beberapa portal berita melaporkan bahawa Ahli Parlimen pembangkang yang menganggotai PAC akan meneruskan prosiding siasatan terhadap 1MDB pada pagi ini. Mengulas lanjut Seng Giaw berkata, tindakan mengadakan sidang media itu kerana menyedari bahawa isu berkaitan 1MDB mendapat perhatian rakyat. "Rakyat ingin tahu perkembangan siasatan dan apa sebenarnya yang berlaku. "Walaupun tiada sesi, namun sebagai menunjukkan komitmen dan kesediaan kita untuk mencari kebenaran berhubung 1MDB, kami akan hadir untuk mengadakan sidang media khas di Parlimen," katanya. Jawatankuasa bi-partisan itu sepatutnya menyoal siasat bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi di Parlimen pada pagi Selasa, sebelum diteruskan dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang dijadual pada Rabu. Mohd Hazem Abdul Rahman yang berkhidmat sebagai CEO 1MDB dari Mac 2013 hingga Januari 2015, turut diminta memberi keterangan kepada jawatankuasa itu pada Khamis ini. PAC kehilangan pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamad dan tiga ahli lain - Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Datuk Wilfred Madius Tangau selepas mereka dilantik menganggotai Kabinet. Pelantikan itu sekali gus membatalkan status mereka sebagai anggota PAC.