suria

Misteri MH370 Terungkai Sebentar Lagi

Serpihan pesawat itu dipenuhi cangkerang dan berkarat.

PETALING JAYA: Misteri pesawat milik Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 akan terungkai dalam tempoh beberapa jam sahaja lagi apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka membuat pengumuman khas mengenai keputusan hasil siasatan ke atas serpihan yang ditemui di Pulau La Reunion, malam Rabu.

Pengumuman khas itu dijadualkan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PTWC), Kuala Lumpur sebelum tengah malam Rabu.

Petugas media kini dalam keadaan bersiap sedia untuk membuat liputan mengenai pengumuman tersebut.

Terdahulu, penemuan serpihan yang dipercayai komponen pesawat menimbulkan semula spekulasi ia mungkin milik pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac tahun lalu.

Flaperon yang didakwa sama dengan yang dimiliki Boeing 777.

Serpihan tersebut yang dipenuhi cangkerang dan berkarat ditemui seorang pekerja pembersih pantai di kepulauan tersebut pada 29 Julai lalu.

Bukti serpihan pesawat itu mungkin milik MH370 dikuatkan lagi dengan penemuan beberapa botol air mineral keluaran Malaysia yang turut ditemui di pantai Pulau tersebut.

Kedudukan penemuan botol air itu tidak jauh dari lokasi serpihan sayap pesawat itu ditemui.

Pasukan pakar teknikal di Perancis telah mula menjalankan pemeriksaan terhadap serpihan 'flaperon' yang sebelum ini disahkan milik pesawat Boeing 777.

Malah kumpulan pakar yang terdiri daripada pihak Perancis, Malaysia, Boeing dan wakil dari China juga bersama-sama menjalankan pemeriksaan bagi mengesahkan sama ada serpihan itu adalah milik pesawat yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal dalam penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Beijing pada Mac tahun lalu.










MH370, MAS, Najib Tun Razak

Artikel Lain