KUALA LUMPUR: Figura yang sering tampil dengan beret merah, baju seragam hitam dan merah serta berkaca mata hitam antara yang mencuri perhatian ramai pada majlis rumah terbuka Hari Raya anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, malam Selasa. Kemunculan Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah sememangnya tidak dijangkakan namun ‘Raja Report Malaysia’ ini menjadi buruan untuk bergambar bersama dengan beliau. Mengetuai badan bukan kerajaan (NGO) itu, Abdul Rani dikenali ramai terutama di media sosial dengan hashtag #kipidap kerana sering tampil membuat laporan polis dengan mengangkat pelbagai isu negara. Sekumpulan hadirin bergambar bersama dengan Abdul Rani. Ibarat selebriti di karpet merah, ramai tetamu yang tidak putus-putus untuk bergambar bersama malah ada yang sanggup ‘beratur’ untuk menunggu giliran. Sambutan di luar jangkaan itu menyebabkan Abdul Rani banyak kali terpaksa berhenti makan demi melayani permintaan para pengikut dan peminatnya. Tanpa mengira umur, kaum dan jantina, malah petugas katering dan delegasi asing pun turut tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan Abdul Rani. Menariknya, terdapat kerusi tetamu yang dijadikan sebagai ‘kerusi khas’ sementara diletakkan bersebelahan dengan tempat duduk Abdul Rani bagi memudahkan orang ramai bergambar bersama yang turut meniru gaya tersendirinya. Antara pengunjung yang beratur untuk bergambar bersama dengan Abdul Rani. Seorang peminat, Zalehan Tajuddin, 33, berkata, dia sebelum ini hanya melihat Rani Kulup mengenai berita berkaitan dengan tindakannya membuat laporan polis menerusi di televisyen dan suratakhabar. “Tak sangka pula datang jumpa berdepan dengan dia di sini (rumah terbuka). Bila nampak dia masuk dewan, saya memang dah ‘target’ nak ambil gambar dengan dia. “Siapa tak kenal Rani Kulup. Siapa tak kenal dengan tagline ‘kipidap’ dia. Memang tak sangka dapat bergambar dengan dia. Bukan saya seorang, rakan-rakan satu pejabat pun tak lepaskan peluang bergambar dengan dia,” katanya kepada mStar Online. Bagi Abdul Haidir Mohd Sukor, 32, yang turut bergambar dengan Abdul Rani pula menyifatkan Presiden MJMM itu sebagai ikon di kalangan pengguna media sosial kerana keberaniannya tampil ke hadapan membawa isu-isu semasa. “Walaupun mungkin ada yang memandang remeh terhadap usaha beliau, tetapi tindakannya itu sememangnya memberi kesan kepada masyarakat. “Apa sahaja yang baik untuk diperjuangkan demi rakyat dan negara, itulah yang seharusnya kita hargai dan dijadikan contoh,” kata Abdul Haidir. Setiap peminat atau pengikut Abdul Rani akan meniru gaya tersendirinya dengan menunjukkan lengan. Sementara itu, Abdul Rani yang mesra dengan panggilan ‘ayah’ berkata, beliau amat terharu dengan sambutan terhadapnya yang di luar jangkaan itu. “Ini menunjukkan satu fenomena di mana saya pergi, bukan sahaja di majlis ini tetapi di merata-rata tempat, sambutan peminat ayah ‘Rani Kulup’ ini... bukan saya hendak 'angkat bakul sendiri', tetapi inilah kenyataan. Mereka semua memang berminat untuk bersama dan bergambar dengan saya,” katanya kepada mStar Online pada malam Selasa. Abdul Rani bagaimanapun menyifatkan keadaan yang berlaku bukan satu gangguan terhadap dirinya mahupun majlis yang dianjurkan namun sebaliknya ia sekadar sambutan dan penerimaan masyarakat terhadapnya. "Saya perlu layan. Bagi saya, ia bukan gangguan. Ini menunjukkan mereka teruja. Lagipun mana ada masa panjang, saya di sini juga sebagai tetamu. Jadi, bila lagi (mereka) hendak bergambar dengan saya? Bila saya boleh makan, saya makanlah," katanya yang mendahului permintaan orang ramai yang mahu merakamkan kenangan manis bergambar dengan beliau. Pada masa sama, Abdul Rani sebenarnya turut teruja dengan sambutan yang diterima di kalangan peminat dan pengikutnya tanpa mengira tempat dan waktu. Abdul Hadir (kiri) antara hadirin yang menyifatkan Abdul Rani (dua, kiri) sebagai ikon di kalangan pengguna media sosial kerana keberaniannya tampil ke hadapan membawa isu-isu semasa. Malah kata Abdul Rani yang berkongsi pengalamannya sebelum ini, terdapat peminat yang mahu bergambar dengannya sewaktu beliau mahu pergi ke tandas. "Saya teruja dan terharu dengan sambutan mereka yang mengikuti Rani Kulup. Terima kasih," katanya. Dalam perkembangan lain, Abdul Rani berkata, pihaknya akan terus membuat laporan polis bagi memperjuangkan hak rakyat, bangsa, agama dan negara. "Setakat ini saya sudah membuat hampir 1,000 laporan polis dan saya terus akan memperjuangkannya demi kebaikan bersama," katanya.