suria

RM2.6 Bilion: SPRM Minta PM Beri Penjelasan

Najib Razak

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meminta penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung sumbangan derma RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadinya.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan SPRM pada Rabu, langkah susulan itu perlu selepas pihaknya mendapat penjelasan dan pengesahan penderma dari Timur Tengah yang menyalurkan dana berkenaan.

"SPRM tidak boleh mendedahkan identiti pihak yang mendermakan dana RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri.

"Bagaimanapun, Datuk Seri Najib Tun Razak akan diminta memberi penjelasan mengenai sumbangan derma yang diterima beliau kepada SPRM," kenyataan itu dipetik.

Menjelaskan lebih lanjut, SPRM berkata, butiran penderma diketahui melalui dokumen yang diambil dari bank.

"Terdapat empat surat yang diserahkan kepada pihak bank apabila jumlah wang yang besar dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri.

"Dalam dokumen itu ada dijelaskan bahawa sumbangan RM2.6 bilion adalah sebagai derma," menurut kenyataan itu.

Tambah SPRM lagi, Peguam Negara turut meminta suruhanjaya itu membuat penjelasan berhubung perkara ini sementara siasatan masih dijalankan.

"Sumbangan derma RM2.6 billion itu tiada kaitan langsung dengan 1MDB," kata SPRM lagi.

1MDB, SPRM, Perdana Menteri

Artikel Lain