suria

Penahanan Pegawai SPRM Jejas Siasatan - Mustafar

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mustafar Ali mengakui penahahan dua pegawai agensi berkenaan oleh polis pada Rabu menjejas proses siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd (SRC) dan isu berkaitan dana RM2.6 bilion.

"Tentunya apabila ada tindakan diambil terhadap pegawai penyiasat yang melaksanakan kerja penyiasatan, tentunya ia sedikit sebanyak menjejaskan siasatan.

"Itu tidak saya nafikan kerana dalam masa kita menjalankan kerja siasatan,  pegawai ini sendiri telah ditahan," katanya kepada pemberita di Pejabat Bahagian Operasi Khas SPRM di sini.

Peralatan seperti komputer riba dan dokumen telah diambil polis, katanya.

Ditanya mengenai tempoh untuk siasatan SPRM dimuktamadkan, Mustafar berkata: "Saya tidak sebut bila siasatan akan selesai tetapi dalam tindakan kita yang telus dan profesional, kita tentunya nak melaksanakan kerja selancar mungkin".

"Itu memang peranan kita berdasarkan Prosedur Standard Operasi (SOP) dan sebagainya tetapi selepas kita selesai nanti, tentunya akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk penelitian lanjut," katanya.

Pada pukul 3 petang tadi, Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Tan Kang Sai memberi keterangan berkaitan isu kebocoran maklumat siasatan agensi itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Selain itu, dua lagi pegawai SPRM yang memberi keterangan di IPD Putrajaya pada 5.30 petang tadi turut ditahan bagi membantu siasatan namun dibebaskan dengan jaminan polis beberapa jam kemudian. -- Bernama

SPRM, SRC International, Mustafar Ali

Artikel Sebelum

Serpihan Sah Milik MH370

Artikel Lain