KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh pada Khamis menafikan laporan sebuah blog dan portal tempatan yang mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan berbunyi 'Jangan hantar anak ke sekolah kerajaan jika tidak suka kerajaan Barisan Nasional (BN)'. Katanya kenyataan itu telah diputarbelitkan oleh golongan tidak bertanggungjawab untuk mencalarkan namanya, Kementerian Pendidikan Malaysia pada masa itu serta kerajaan. "Hal ini amat berlawanan dengan kenyataan saya yang asal iaitu: 'Kalau ada yang mengatakan bahawa sistem tak baik dan nak hantar anak ke luar negara, kita tak halang, tapi saya akan pastikan sistem pendidikan kita bertambah baik'," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis. "Saya berharap penjelasan serta penafian ini cukup jelas bahawa saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang bersentimen sedemikian rupa. "Diharapkan rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan cerita-cerita sedemikian," katanya.