suria

Najib Adakan Perbincangan Dengan PM Vietnam

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan dari Vietnam, Nguyen Tan Dung di pejabatnya di sini pada Jumaat sempena lawatan rasmi dua hari pemimpin itu ke Malaysia.

Kedua-dua pemimpin itu mengadakan mesyuarat tertutup di Perdana Putra di sini sebelum meneruskan dengan mesyuarat bersama delegasi.

Sebelum itu, Najib menyambut kedatangan Nguyen di lobi Jabatan Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra di sini. Majlis itu diadakan di lobi berikutan hujan.

Nguyen dan isterinya, Tran Thanh Kiem disambut oleh Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor sebaik mereka tiba pada 3.30 petang sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Nguyen kemudian memeriksa perbarisan kawalan kehormatan oleh 106 pegawai dan anggota Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja.

Beberapa menteri kabinet, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan turut hadir pada majlis itu.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan Nguyen adalah atas jemputan Perdana Menteri.

Ini adalah lawatan ketiga Nguyen ke Malaysia sejak dilantik sebagai perdana menteri pada 2006.

Nguyen dan Najib dijangka membincangkan kemajuan hubungan dua hala sedia ada selain meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor untuk manfaat kedua-dua buah negara, kata kenyataan itu.

Vietnam, Malaysia, Perdana Menteri

Artikel Berikut

Artikel Lain