KUALA LUMPUR: Seorang surirumah kerugian barang kemas bernilai kira-kira RM6,000 apabila tiga lelaki bermotosikal menyamunnya di Bukit Indah, Ampang pagi Jumaat. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Khairuldin Saad berkata kejadian berlaku pada pukul 10 pagi ketika mangsa yang berumur 59 tahun didatangi tiga lelaki yang menaiki dua buah motosikal. Ketika itu mangsa berada di hadapan rumah rakannya. "Seorang suspek yang disyaki menaiki motosikal Yamaha 125Z telah turun dari motosikalnya sebelum bertindak memecahkan cermin kereta mangsa dengan parang. "Susulan itu mangsa melarikan diri dengan keretanya namun diekori suspek yang meminta mangsa memberhentikan keretanya dan mengarahkan mangsa menyerahkan gelang emas dan jam tangannya," katanya. Khairuldin berkata mangsa yang geram melihat barang berharganya dilarikan, telah bertindak nekad dengan melanggar rakan suspek yang sedang berada di atas motosikal di hadapan keretanya. "Suspek yang bersenjatakan parang mengarahkan mangsa untuk mengundurkan keretanya dan terus membawa rakannya yang dilanggar dan melarikan diri dengan sebuah lagi motosikal," katanya. Beliau berkata motosikal yang ditinggalkan suspek didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.