suria

Ringgit Lemah Baik Untuk Industri Pelancongan - Nazri

Nazri Aziz.

PETALING JAYA: Ketika mata wang ringgit jatuh ke paras terendah dalam tempoh 17 tahun, Datuk Seri Nazri Aziz percaya ia masih memberi manfaat kepada industri pelancongan.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata ia adalah baik untuk industri tersebut kerana Malaysia menjadi destinasi 'berpatutan' untuk pelancong asing.

"Selain itu, rakyat Malaysia akan mendapati kos agak mahal untuk melancong ke luar negara jadi mereka akan berbelanja di dalam negara dan ia baik untuk pelancongan domestik," katanya kepada The Star Online menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Nazri, yang kini berada di Paris, Perancis untuk lawatan kerja berkata nilai mata wang yang rendah mampu meningkatkan eksport Malaysia dengan mengambil contoh China menentang gesaan Amerika Syarikat untuk mengapungkan mata wang yuan mereka.

"AS merasakan mata wang yuan terlalu rendah berbanding dolar AS di mana mereka tidak boleh bersaing dengan eksport China," katanya.

Pada 10 Jun lalu, Nazri dikritik apabila berkata kejatuhan nilai ringgit boleh menaikkan pelancongan domestik apabila ringgit didagangkan sekitar 3.7000 berbanding dolar AS.

Menyedari sentimen rakyat mengenai kenyataan itu, beliau menegaskan pendiriannya sebagai menteri adalah 'tepat'.

Pada Jumaat, ringgit berada dalam jajaran 3.9235 berbanding dolar AS.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain