suria

Jangan Sekadar Sokong Kosong - Tajuddin

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (tengah) yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bersama-sama anggota Pemuda UMNO ketika majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Ahad. Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota Muhammad Faiz Hashim (dua,kiri).

KUANTAN: Sikap suka membodek dan hanya menunjukkan 'sokongan kosong' dalam kalangan anggota dan pemimpin Umno terhadap Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak perlu dihindar.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sebaliknya, sokongan harus diterjemahkan dengan melakukan gerak kerja bagi memastikan kemenangan parti dalam pilihan raya umum akan datang.

"Apabila orang sokong, kita pun nyatakan sokongan untuk membodek, kalau kita sokong, sepatutnya kena kerja kuat untuk pastikan parti terus kukuh dengan menarik rakyat supaya terus bersama parti," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Indera Mahkota di sini malam tadi.

Tajuddin berkata komitmen kebanyakan anggota dan pemimpin Umno pada masa kini juga lebih bersifat seperti melepaskan batuk di tangga tanpa bersedia menghadapi cabaran.

"Rata-rata rakyat tidak ramai yang bercakap elok tentang kerajaan, ini menandakan kita berhadapan masalah dan kalau tidak ditangani, mungkin prestasi parti dalam pilihan raya akan datang lebih merosot," kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu.

Sehubungan itu, katanya anggota Umno perlu berubah dan kembali kepada landasan asas perjuangan parti sebelum ini yang memberi khidmat kepada rakyat, agama, bangsa dan negara.-- Bernama

Umno, Tajuddin Abdul Rahman

Artikel Berikut

Artikel Lain