suria

Kurangkan Polemik Dan Bercakap, Banyakkan Bekerja - Musa Aman

TUARAN: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman meminta seluruh anggota dan barisan kepimpinan UMNO Sabah agar mengurangkan polemik dan berpolitik sesama sendiri, sebaliknya menumpukan fikiran serta tenaga untuk bekerja dan membela nasib rakyat. 

Berpolemik keterlaluan dan banyak bercakap serta kurang bekerja jika terus diamalkan tidak akan memberi apa-apa faedah kepada rakyat, negeri dan negara keseluruhannya, katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan mesyuarat serentak UMNO Bahagian Tuaran,Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Tuaran di Dewan Masyarakat Sulaman di sini pada Ahad.

Terdahulu dalam ucapannya, Musa, yang juga Ketua Menteri Sabah, mengingatkan anggota dan pemimpin UMNO supaya terus fokus dan tidak hilang arah dalam perjuangan parti kerana sudah menjadi lumrah hidup setiap perjuangan mesti ada cabaran, dugaan serta onak dan duri yang perlu dihadapi, lebih-lebih dalam partibesar seperti UMNO.

Bagaimanapun, katanya, apa juga permasalahan yang timbul perlu diselesaikan dengan baik melalui semangat persaudaraan dan muafakat sesama anggota parti kerana hanya dengan cara itu, UMNO akan terus bersatu dan kukuh serta mampu berdepan dengan apa juga cabaran yang mendatang.

"Sebab itu saya selalu katakan, saya selalu ingatkan (kepada wakil rakyat) jangan anggap anda hanya 'Yang Berhomat' sahaja tetapi juga 'Yang Berkhidmat' kepada rakyat. Inilah cara dan pendekatan kita untuk memastikan UMNO, khususnya di Sabah, terus stabil kukuh dan dan kuat," katanya.

Musa juga mengingatkan anggota dan kepimpinan UMNO agar terus mempertahankan budaya taat kepada pucuk pimpinan dan parti kerana dengan cara itu barulah UMNO akan terus kuat dan mantap manakala dasar parti dan kerajaan akan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Beliau berkata kesetiaan kepada parti dan pucuk pimpinan amat penting bagi memastikan jentera parti dapat bergerak secara bersepadu untuk mencapai matlamat yang ditetapkan termasuk menang dalam pilihan raya.

"Kalau kita bersatu padu, ada kesepakatan, ada perpaduan apa sahaja cabaran akan mampu kita hadapi dengan penuh ketabahan. Kita mahu negara kita, kita mahu negeri kita, kepimpinannya, tidak ditentukan oleh orang luar atau anasir dalam dan luar negara," katanya.

Datuk Seri Musa Aman

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia