suria

Tohmahan Berterusan Terhadap Najib Agenda Hancurkan Umno

Tengku Adnan (tengah) bersama Ketua Umno Bahagian Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga, kiri) dan ahli-ahli UMNO melafaz ikrar taat sedia pada perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bera, Ahad. Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Jerantut Ahmad Nazlan Idris (dua kiri) sebagai wakil Perhubungan Umno Pahang.

BERA: Tohmahan dan fitnah berterusan yang dilemparkan oleh pembangkang terhadap Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah agenda untuk melemahkan Umno.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tindakan ini dilakukan oleh pihak-pihak tertentu serta pembangkang setelah usaha mereka untuk menghancurkan parti dengan melakukan serangan kepada keluarga Najib sebelum ini gagal.

"Mereka ini nak hancurkan Umno, nak tunjuk presiden (Najib) lemah, dahulu mereka cuba 'serang' keluarga Najib, tetapi tidak berjaya.

"Kini, apabila usaha itu tidak menjadi, presiden pula yang menjadi sasaran dan kita pula dibuai-buai dengan berita yang disiarkan dalam media sosial tanpa diketahui kesahihannya," katanya.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Bera di Kompleks Rakan Muda, di sini, Ahad.

Ketua Umno Bahagian Bera yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut hadir.

Sehubungan itu, Tengku Adnan menyeru semua anggota dan pemimpin supaya terus tetap pertahankan presiden parti kerana ia penting untuk mengelakkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) lemah dan hancur.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru semua anggota parti supaya kembali menghayati slogan Umno iaitu 'Bersatu, Bersedia dan Berkhidmat' bagi memperkukuhkan kembali parti.

"Tunjukkan ini (bersatu, bersedia, berkhidmat) adalah cara kita, bukannya cantas-mencantas dan cah keting. Depan cakap lain, belakang cakap lain," katanya.

Beliau juga menggesa anggota Umno supaya mengubah sikap daripada suka berkhidmat untuk diri sendiri kepada berkhidmat untuk rakyat sebagaimana yang dituntut oleh parti.

Katanya, jika ini dipatuhi, sudah pasti parti itu akan kembali menerima kepercayaan daripada rakyat. -- Bernama

Artikel Lain