suria

Tiba Masa Langkah Pencegahan Lanun Dikaji Semula

PUTRAJAYA: Sebuah lagi kapal tangki dengan muatan 3,500 tan metrik bahan api telah dirampas oleh lanun ketika Tentera Laut Diraja Malaysia giat menjalankan usaha untuk menangani aktiviti lanun di perairan Malaysia.

MT Joaquim yang berdaftar di Singapura hilang pada malam Sabtu selepas dirampas oleh lanun berhampiran Port Dickson, 380km dari Tanjung Ayam, Johor.

Kapal tangki minyak itu kemudian ditemui di perairan Indonesia berhampiran Pulau Rupat kira-kira pukul 8.45 pagi Ahad.

Rampasan itu dibuat kurang dari dua bulan selepas anak kapal tangki Orkim Harmony diselamatkan dengan penuh dramatik dan membawa kepada penangkapan lapan lanun.

Serangan terbaru ini telah membuatkan Selat Melaka dan Laut China Selatan yang mahsyur menjadi antara perairan yang paling terdedah kepada rompakan lanun di dunia.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Madya Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata MT Joaquim telah ditemui oleh pesawat Bombardier CL 415 agensi itu, di kedudukan 14 batu nautika timur Pulau Rupat.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Malaysia akan menggesa negara-negara jiran untuk mengkaji semula dan meningkatkan usaha penyelarasan anti lanun berikutan rampasan tersebut.

Beliau berkata Malaysia telah melakukan beberapa susunan kerja, termasuk pengawasan di udara dan rondaan bersama, dengan Singapura, Indonesia dan Thailand.

"Saya rasa usaha-usaha ini perlu dikaji semula dan kita juga perlu menyeru negara-negara lain untuk menyertainya," katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Pandan di Kuala Lumpur.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Jabatan Laut sedang bekerjasama rapat dengan agensi-agensi lain untuk meningkatkan keselamatan laluan air di Malaysia.

"Keselamatan adalah kebimbangan utama kita dan kita sedang meningkatkan langkah-langkah untuk menghapuskan kegiatan lanun," katanya pada majlis sambutan Hari Raya di Taman Harmoni di Bentong, Ahad.

Terdahulu, Ahmad Puzi berkata kepada pemberita bahawa kapten kapal tangki dan seorang anak kapal cedera ringan selepas mereka dipukul oleh lanun tetapi 10 anak kapal yang lain - sembilan warga Indonesia dan seorang warga Singapura - selamat.

Beliau berkata minyak yang dicuri bernilai RM2.8 juta.

Ahmad Puzi berkata siasatan awal menunjukkan Sistem Pengenalan Automatik kapal tidak diaktifkan di mana ia kali terakhir dikesan pada pukul 6 pagi Khamis.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pembabitan orang dalam kerana kapal itu dikesan menuju ke selatan bukannya ke arah utara yang sepatutnya menjadi destinasi kapal itu.

"Kami akan menyiasat kes ini dengan teliti untuk mengesan suspek bersama-sama dengan agensi-agensi penguatkuasaan negara jiran, serta Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia," katanya.

Ahmad Puzi berkata ini merupakan rampasan yang kelapan berlaku di perairan Malaysia pada tahun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain