suria

Pusat Konvensyen Dibina Di Tempat Letak Kereta Stadium Utama Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Kerja naik taraf dan pembinaan kemudahan baharu di Kompleks Sukan Bukit Jalil menjelang penganjuran temasya Sukan SEA 2017 akan melibatkan perbelanjaan lebih RM1 bilion.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata projek pembangunan semula itu akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu sebelum dan selepas penganjuran temasya dwitahunan itu.

Menurut Khairy, kerja naik taraf akan melibatkan Stadium Putra, Stadium Nasional, pusat akuatik, stadium hoki, asrama atlet selain turut membina beberapa kemudahan baharu di sekitar Bukit Jalil.

"Jumlah RM1 bilion ini melibatkan dua fasa yang akan merangkumi pembinaan kemudahan baharu dan kerja naik taraf untuk stadium sedia ada.

"Kita akan bina satu pusat konvensyen tertutup yang baharu sebab satu stadium tertutup tidak cukup. Ia akan dibina di tapak letak kereta di depan stadium utama," katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis sambutan Hari Raya Kementerian Belia dan Sukan di Stadium Putra di sini, Isnin.

Khairy berkata anggaran kos ini turut mengambil kira aspek keselamatan yang memerlukan pihak stadium menggantikan kemudahan sedia ada untuk memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Apabila kemudahan dibina pada 1998, pada waktu itu garis panduan pembinaan bukan seketat yang ada hari ini. Ada beberapa perkara di mana pihak Bomba dan Penyelamat sendiri minta kita buat pertukaran dari segi dalaman stadium dan kemudahan yang perlu memenuhi spesifikasi yang dibenarkan," katanya.

Khairy berkata Majlis Sukan Negara (MSN) telah mengenal pasti beberapa venue latihan serta penempatan sementara atlet untuk memastikan mereka dapat meneruskan latihan sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA nanti.

Kompleks Sukan Bukit Jalil akan ditutup kira-kira satu setengah tahun bagi tujuan pembangunan semula dan menambah baik kawasan sekitarnya sebagai persediaan Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA pada 2017.

Khairy berkata lapan syarikat telah disenarai pendek dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) sedang menyediakan kertas kerja untuk kelulusan jemaah menteri mengenai pembida yang berjaya mendapat tender berkenaan.

Dalam pada itu, Khairy turut menjelaskan bahawa kos yang agak tinggi bukan sahaja untuk keselesaan atlet tapi juga ia dapat menjana pendapatan Perbadanan Stadium Malaysia selaku badan yang menyelenggara Kompleks Sukan Negara.

Sementara itu, mengenai Pusat Akuatik Kompleks Sukan Negeri Perlis, Khairy berkata kementerian menyerahkan kepada Jabatan Kerja Raya untuk tindakan selanjutnya berhubung kontrak penyelenggaraan yang gagal dilaksanakan oleh kontraktor terbabit.

"Kita serah kepada JKR untuk tamat kontrak sebab tidak jalankan tugas. Kita minta JKR cepatkan proses untuk tamat kontrak dan cari kontraktor baharu.

"Kita buat kemudahan tapi tidak dijaga dengan baik. Sepatutnya mereka perlu tahu macam mana hendak guna dan buat program untuk memastikan kemudahan di situ terguna dan terjaga," katanya.

Pusat Akuatik Kompleks Sukan Negeri dilaporkan terbiar dan mengalami kerosakan teruk kerana tidak diselenggara dengan baik oleh kontraktor yang ditetapkan.

Artikel Lain