suria

Tun M Harap Dua Pengarah SPRM Dapat Panggil Najib Beri Penjelasan

KAJANG: Dua pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sepatutnya ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) diharap dapat meneruskan tugas mereka dengan menyoal siasat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berkata pembatalan pertukaran dua pengarah itu yang diumumkan pagi Isnin adalah satu perkara positif.

"Itu satu-satunya perkara positif yang saya dengar setakat ini.

"Jika mereka tidak dipindahkan adakah mereka akan memanggil Datuk Seri Najib untuk memberi penjelasan," katanya pada sidang media selepas hadir sesi dialog bersama warga Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) sempena Pesta Minda Malaysia ke-11 di sini, Isnin.

Dr Mahathir mendakwa, dua pengarah itu - Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rohaizad Yaakob ditukarkan ke JPM kerana mengumumkan niat untuk menyoal perdana menteri berhubung sumber dana yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

"Saya berharap kedua-dua mereka ini akan memanggil Najib dan meminta beliau memberi penjelasan," katanya.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa pada Isnin membatalkan pertukaran  Bahri dan Rohaizad dari SPRM ke JPM dan mereka kekal memegang jawatan masing-maisng.

Ali berkata beliau dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal telah berjumpa dengan dua pengarah SPRM yang terlibat.

Katanya kedua-dua pengarah tersebut telah memberikan penjelasan mengenai tindakan mereka mengeluarkan kenyataan media.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain