Ketibaan Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei kira-kira 12.15 tengah malam disambut oleh Menteri Pendidikan Brunei, Datuk Seri Dr Awang Abu Bakar Apong.
Turut hadir di lapangan terbang itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei, Datuk Awang Sahak Awang Salleh.
Pagi Selasa, Perdana Menteri akan ke Istana Nurul Iman bagi menghadiri Rundingan Tahunan ke-19 dengan Sultan Brunei dan kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pelbagai isu serantau dan global.
Rundingan tahunan itu akan dimulakan dengan Sultan Brunei menerima mengadap Perdana Menteri.
Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pemeteraian dokumen-dokumen antara kedua-dua negara.
Siri Rundingan Tahunan Antara Ketua-Ketua Kerajaan Malaysia dan Brunei diadakan secara bergilir antara kedua-dua negara.
Malaysia menjadi tuan rumah bagi Rundingan Tahunan Ke-18 di Putrajaya pada 3 Nov 2014.