suria

Teropong Canggih Pantau Pergerakan Di Sempadan Malaysia-Thailand

KANGAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memasang teropong canggih yang berkeupayaan melihat pergerakan manusia di kawasan samar termasuk pada waktu malam di sepanjang sempadan Malaysia/Thailand di Perlis.

Ketua Polis Perlis SAC Shafie Ismail berkata teropong itu dipasang di menara-menara kawalan oleh polis Bukit Aman baru-baru ini.

"Teknologi teropong tersebut amat canggih dan dipasang bagi memantau pergerakan manusia dalam usaha pihak berkuasa memperkemas kawalan keselamatan di sempadan," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Menurut Shafie dua anggota ditempatkan di setiap menara untuk membuat pemerhatian 24 jam selain rondaan rutin oleh Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP).

Pemasangan teropong itu susulan penemuan 139 kubur mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, baru-baru ini yang mengejutkan seluruh negara, katanya.

Shafie berkata beliau juga telah mengarahkan pasukan polis di sempadan supaya meningkatkan hubungan dan kerjasama dengan masyarakat setempat.

"Saya harap hubungan baik orang awam dan pihak berkuasa akan menghasilkan kesan positif dalam usaha membanteras aktiviti tidak sihat.

"Polis amat menghargai sumbangan rakyat yang selama ini banyak menyalurkan maklumat yang membawa kepada kejayaan membanteras penyeludupan khususnya melalui jalan tikus," tambahnya.

Sempadan, Malaysia, Thailand

Artikel Sebelum

Artikel Lain