PETALING JAYA: Sebuah portal berita mengeluarkan penafian berhubung satu paparan skrin palsu mengenai laman web itu yang didakwanya mengeluarkan berita dengan bertajuk “Najib pernah ada hubungan sulit dengan anak saya, kata Mahathir”. Portal berita The Malaysian Insider berkata, pemberitanya tidak menulis berita berkenaan dan pihaknya tidak menyiarkan artikel seumpama itu. "The Malaysian Insider menyifatkan tindakan menyebarkan petikan palsu berkenaan dan mengaitkannya dengan laman web ini adalah tidak bertanggungjawab," kata portal berita tersebut pada Rabu. Petikan berkenaan menunjukkan berita itu disiarkan pada Selasa dengan menggunakan nama wartawan dan jurugambar The Malaysian Insider.