MIRI: Kementerian Kerja Raya mencadangkan kajian komprehensif dilakukan oleh sektor swasta dan pendidikan tinggi bagi menambah baik kualiti pembinaan infrastruktur di tanah gambut. Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, setakat ini, belum ada kajian yang konklusif memberi jaminan pembinaan infrastruktur seperti jalan raya di tanah gambut dapat bertahan dengan tempoh yang lama. "Sebagai contoh di Sarawak kualiti jalan raya tidak baik kerana masalah tanah gambut ini menyebabkan ada jalan tidak rata dan beralun," katanya pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) cawangan Miri di sini, Jumaat ini. Fadillah mencadangkan, kontraktor tempatan khususnya yang beroperasi di Sarawak menjalin kerjasama dengan universiti tempatan memandangkan tanah gambut meliputi sebahagian besar negeri ini. "Di bandar raya Miri misalnya kontraktor tempatan boleh menjalinkan kerjasama dengan Curtin Universiti Sarawak yang beroperasi di Miri, jika berjaya, potensi untuk memasarkan teknologi infrastruktur di tanah gambut ke luar negara amat cerah," katanya.-- Bernama