KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohanan The Edge Communications Sdn Bhd untuk menangguhkan arahan penggantungan dua penerbitannya, The Edge Financial Daily dan mingguan The Edge Weekly selama tiga bulan. Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan tersebut di dalam kamar pada Jumaat. Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke Yee Ching yang mewakili Menteri Dalam Negeri berkata permohonan tersebut ditolak atas alasan bahawa The Edge tidak akan mengalami kemudaratan. Pada 23 Julai lalu, Kementerian Dalam Negeri menggantung permit The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan. Berdasarkan surat yang dihantar kepada ketua pengarang syarikat itu, Ahmad Azam Mohd Aris, KDN memaklumkan bahawa laporan mengenai 1MDB oleh The Edge adalah memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan dan kepentingan negara. Sekiranya gagal mematuhi arahan penggantungan, tindakan pembatalan permit permit terhadap kedua-dua penerbitan itu akan dibuat.