suria

Jaga Ahli Umno Sahaja Tidak Cukup Untuk Menang PRU14 - KJ

Khairy Jamaluddin

KUALA NERANG: Menjaga anggota UMNO sahaja dan bergantung kepada kelemahan parti lawan tidak cukup untuk menjamin kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU), kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata anggota parti perlu menerima hakikat bahawa kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang bergantung kepada rakyat yang memberi mandat untuk memerintah negara ini.

"Menjaga anggota Umno sahaja tidak cukup atau mengharapkan kelemahan parti lawan untuk menang. Kita perlu kembali kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Padang Terap, di sini, Sabtu.

Justeru, katanya, kepimpinan parti perlu merangka strategi bagi memastikan anggota parti dan pengundi memberi kepercayaan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk terus memerintah negara.

Beliau berkata Umno dan BN tidak akan memperolehi kemenangan pada PRU ke-14 sekiranya tidak mendapat sokongan daripada rakyat.

Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata Umno perlu kembali kepada asas perjuangannya sebelum ini iaitu mendekati rakyat di peringkat akar umbi serta memastikan suara hati mereka didengar oleh kepimpinan parti.

Menurutnya, suara akar umbi adalah penting dalam memastikan Umno dan BN tidak kalah pada pilihan raya akan datang.

"Kita jangan membisu dan apa yang terbuku dalam hati kita suarakan. Ahli Umno tidak perlu cakap di belakang sebaliknya guna platfom seperti mesyuarat perwakilan ini untuk sampaikan isi hati mereka," katanya.-- Bernama

KJ, Umno, Padang Terap

Artikel Lain