suria

TH Sedia Pusat Sehenti Mudahkan Urusan Jemaah - Azeez

Azeez (tengah) diiringi Pengarah Tabung Haji Kelantan Wahyudin Tamami (baju putih) ketika meninjau persiapan akhir untuk pelepasan jemaah haji ke tanah suci di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Sabtu. Kumpulan pertama jemaah haji dijangka berlepas Ahad (esok).

KOTA BARU: Tabung Haji (TH) akan menyediakan beberapa pusat sehenti bagi memudahkan urusan jemaah mendaftar masuk sebelum berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan fardu haji.

Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pusat sehenti itu akan disediakan di beberapa negeri yang belum mempunyai kompleks pelepasan khusus bagi penerbangan terus ke Madinah di lapangan terbang negeri masing-masing.

"Pusat sehenti ini memudahkan urusan jemaah haji dengan tidak perlu beratur panjang untuk daftar masuk selain mengurangkan masa menunggu.

"Kita akan cari beberapa kaedah terbaik supaya jemaah kurang letih dan dapat menunaikan rukun Islam kelima itu dengan sebaik mungkin," katanya kepada pemberita di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini, Sabtu.

Abdul Azeez turut mendengar penerangan Pengarah THKelantan Wahyudin Tamami mengenai operasi TH di kompleks itu.

Setakat ini, Sabah, Sarawak, Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu sudah pun mempunyai kompleks pelepasan khusus.

Abdul Azeez berkata pusat sehenti pertama disediakan di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini dan akan disusuli di negeri-negeri lain.

Seramai 960 jemaah haji dari Kelantan akan berlepas ke Tanah Suci  melalui enam penerbangan transit terus dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa-Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA)-Madinah/Jeddah bermula 16 Ogos hingga 3 September depan.-- Bernama

TH, Azeez Rahim

Artikel Lain