KUANTAN: Seorang banduan maut selepas dua hari berada dalam keadaan koma akibat dibelasah oleh seorang banduan lain dalam kejadian di Penjara Penor dekat sini pada malam Khamis lepas. Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, dalam kejadian antara pukul 9 hingga 10 malam itu, mangsa Chen Fan Khion, 46, dari Taman Tas di sini, dipercayai telah berselisih faham dengan seorang lagi banduan berusia 50 tahun. "Mangsa kemudian ditumbuk berkali-kali sehingga tidak berdaya dan beberapa warden penjara yang bergegas ke tempat kejadian menemui mangsa terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad. Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pagi semalam selepas dua hari koma akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan. Sementara itu, katanya polis sudah menahan suspek yang dipercayai membelasah mangsa malam semalam untuk siasatan lanjut. "Kita sedang mengenal pasti punca pergaduhan itu dan suspek kini ditahan reman dua minggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. -- Bernama