KEPALA BATAS: Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, dana politik yang diterima adalah hak eksklusif presiden dan bendahari parti dan tidak dibincangkan secara terbuka. Beliau berkata malah perkara berkaitan dana politik tidak pernah dibincang dalam perjumpaan tertutup parti dan majlis tertinggi Umno. "Waktu saya jadi timbalan Pak Lah (bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi), saya tidak pernah menyoal Pak Lah. Saya tahu itu adalah urusan presiden parti. "Sampai sahaja pilihan raya fulus (duit) cukup, itu saja yang kita nak tahu ... bagaimana presiden dapat dana, siapa bagi sumbangan itu hak budi bicara presiden. Kenapa pula nak dipersoalkan waktu saya jadi presiden parti," katanya. Berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas di sini, Perdana Menteri berkata selaku presiden Umno beliau mengamalkan prinsip yang sama dengan presiden parti terdahulu. "Apa yang saya buat adalah untuk kepentingan parti dan bukan untuk peribadi ... apa yang saya buat tidak menyalahi undang-undang negara," katanya. Najib berkata sepanjang menjadi timbalan kepada Abdullah, beliau tidak pernah menyoal bekas presiden Umno itu atas urusan-urusan yang diketahui menjadi hak dan budi bicara presiden parti. Begitu juga dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, katanya beliau mempertahankan Dr Mahathir selama 22 tahun sebagai perdana menteri. Menjawab kenyataan Dr Mahathir yang beliau membelanjakan RM10 juta sahaja untuk menghadapi pilihan raya, Najib berkata: "Kalau buat statement (kenyataan) tu mestilah munasabah, dia belanja RM10 juta sahaja. "Saya dah congak deposit kerusi Parlimen dengan DUN (Dewan Undangan Negeri) perbelanjaan minimum RM41 juta ... tak termasuk lagi billboard (papan iklan). "Kalau nak kritik mestilah ada asas, masuk akal, (ini) malah tidak rasional langsung," katanya. Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan kelulusan projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Bertam Putra bernilai RM36 juta, Sekolah Kebangsaan Bertam Putra (RM25 juta) serta projek naik taraf jalan dari Jambatan Tuanku Abdul Rahman ke Jambatan Merdeka Seberang Perai Utara, daripada dua lorong menjadi empat lorong. -- Bernama