suria

Siasat, Ambil Tindakan Ahli Parti Terlibat Gerakan Guling Kerajaan - Shafie

Shafie Apdal

SEMPORNA: Siasat dan ambil tindakan terhadap anggota parti yang didakwa terlibat dalam gerakan untuk mengguling kerajaan, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata pihak berkuasa perlu menyiasat dengan lebih mendalam untuk mengetahui sejauh mana kebenaran dakwaan itu.

"Sekiranya terbukti ada mana-mana anggota parti yang terlibat dan ia bercanggah dengan undang-undang, maka ia boleh diambil tindakan kerana kita perlu faham dengan sistem demokrasi serta ada peraturan tertentu yang perlu dipatuhi," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Pulau Larapan, dekat sini, Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, mengenai gerakan menggulingkan kerajaan yang didalangi pembangkang serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatan kerjanya itu, Mohd Shafie yang juga Anggota Parlimen Semporna berkata ia bertujuan memastikan agar kemudahan asas di kawasan kampung berkenaan disediakan sebaik mungkin.

"Kita telah melawat beberapa kemudahan asas di kawasan ini (Kampung Pulau Larapan) dan ada beberapa perkara yang perlu dilakukan dalam usaha memastikan kemudahan asas itu sentiasa berada dalam keadaan baik.

"Kita mencadangkan pihak yang berkaitan seperti Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) atau agensi lain dapat memberi latihan kepada golongan belia di kampung berkenaan agar mereka dapat memantau atau menyelesaikan sebarang masalah terhadap kemudahan asas seperti masalah bekalan elektrik atau sistem solar," katanya.

Mohd Shafie berkata memperkasakan belia kampung dengan sebarang kemahiran adalah sangat penting, supaya mereka dapat menyelasaikan masalah kecil di kawasan masing-masing tanpa bergantung kepada bantuan daripada pihak berkenaan yang lazimnya memakan masa.-- Bernama

Shafie Apdal, Umno

Artikel Lain