suria

Hapuskan Sindrom 'Mantan Pemimpin Kecil Hati' - TPM

Dr Ahmad Zahid Hamidi bergambar bersama sebahagian perwakilan ketika hadir pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tampin hari ini. Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Jempol Senator Datuk Salim Sharif.-Bernama

JEMPOL: Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sindrom 'mantan pemimpin kecik hati' dalam parti perlu dihapuskan demi kesinambungan parti dan kekal relevan kepada rakyat dan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata apa yang penting, anggota Umno termasuk bekas pemimpin yang tidak lagi dalam barisan kepimpinan parti, perlu memberi sokongan dan kepercayaan kepada kepimpinan baharu tanpa berbelah-bahagi.

"Jangan makan hati. Dalam kitaran hidup politik, ada turun naik. Saya juga ingatkan diri saya, apabila tiba masa dan ditakdirkan kita turun, kita perlu turun. Jangan asyik kecik hati sahaja.

"Bila kita jadi mantan, kita merasakan 'I'm the best, the rest is below thepar (saya yang terbaik, lainnya tidak mencapai tahap itu). Sindrom ini perlu dihapuskan," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Jempol di sini pada Ahad.

Ahmad Zahid turut berkata kegagalan Umno dan Barisan Nasional (BN) menakluk Selangor pada pilihan raya umum (PRU) lepas adalah antara contoh sindrom 'mantan pemimpin kecik hati' dan tidak menerima kepimpinan parti yang baharu sehingga menjejaskan usaha meraih sokongan dan kepercayaan rakyat.

"Kenapa Umno kalah di Selangor? Adakah kerana pembangkang kuat? Tidak,mereka tidak sekuat mana tapi kita berpecah, berperang sesama sendiri. Ketua Bahagian dan Naib Ketua Bahagian tidak sebulu.

"Ketika pemilihan, pilihlah secara demokratik. Jika sudah menang, ahli patut bagi sokongan," tambahnya. Ahmad Zahid turut mengingatkan pemimpin Umno yang dilantik dan berjawatan supaya prihatin dan menjalankan tanggungjawab yang diberi bukan secara bermusim atau sewaktu pemilihan atau pertandingan sahaja.

"Tidak ada yang di atas ini (pemimpin) jika tiada sokongan dari akar umbi. Janganlah bangga diri dan takbur kerana jawatan itu sementara," katanya.

Tegasnya, apabila pemimpin tidak peduli pada orang bawah, maka "tunggu satu masa orang bawah tidak ambil peduli pada kita".

Menyentuh mengenai tindakan kumpulan yang merancang untuk menggulingkerajaan, Ahmad Zahid berkata mereka perlu "langkah mayat ahli-ahli Umno kalau hendak tukar kerajaan guna jalan belakang." 

Beliau berkata Malaysia adalah sebuah negara demokrasi, "Kita ada pilihanraya untuk memilih kerajaan, walaupun ada beberapa klausa jika tidak mendapat kepercayaan, Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat perdana menteri boleh bubar(Parlimen). 

"Jika akuan bersumpah diperolehi daripada majoriti ahli Parlimen, kerajaan yang ada itu tumbang maka terbentuk kerajaan baru. "(Walau bagaimanapun) langkah mayat ahli-ahli Umno kalau nak tukar kerajaanguna jalan belakang. Kita akan cari jalan tidak akan berlaku lompat parti, anggota Parlimen dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) kita. Saya tidak akanmembiarkan perkara itu berlaku," katanya. 

Ahmad Zahid, berkata cubaan dan konspirasi menjatuhkan kerajaan, baikmenggunakan akuan bersumpah dan sebagainya, hanya sia-sia dan tidak akan pernah berjaya.  

"Susah-susah adakan pilihan raya, kita menang majoriti walau tidak dua pertiga. Bila kapal bergoyang, ombak melanda, ada yang nak korek kapal, bagi air laut masuk dalam kapal," katanya. 

Beliau yang masih enggan menamakan anggota parti terlibat berkata, penyediaan surat sumpah aku janji untuk menggulingkan kerajaan telah "disiapkan untuk ditandatangan bukan sahaja 87 ahli Parlimen pembangkang, tapi satu BN, dan mereka sasarkan 37 lagi ahli Parlimen BN untuk bersama mereka. 

"Sebelum nasi menjadi bubur, saya sebagai Naib Presiden akan pastikan konspirasi itu tidak akan terjadi," katanya.

Dr Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan