KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Selasa membatalkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman difailkan bekas Pengarah Strategik MIC K. Ramalingam bagi mencabar kandungan surat Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang didakwa melucutkan keanggotannya sebagai anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC. Hakim Datin Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas Ramalingam selaku pemohon menarik balik permohonan yang difailkan pada 30 Julai lepas. Keputusan itu dibuat dalam kamar dengan dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh mewakili RoS dan Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Razin Abdullah selaku responden manakala peguam S.Selvam dan Kokila Vani Vadiveloo mewakili Ramalingam. Selvam ketika ditemui pemberita berkata penarikan balik permohonan itu dibuat berikutan kandungan surat RoS bertarikh 25 Jun lepas tidak menyatakan nama Ramalingam. Peguam itu berkata pihaknya akan memfailkan permohonan kebenaran baharu selepas mendapatkan surat daripada RoS yang menyatakan status keanggotaan Ramalingam. Mahkamah turut memerintahkan Ramalingam membayar kos RM10,000 kepada responden. Sementara itu, Amarjeet berkata pihaknya berhujah bahawa permohonan Ramalingam adalah remeh, menyusahkan dan menyalah guna proses mahkamah. Katanya kandungan surat bertarikh 25 Jun lepas menyatakan RoS telah mengemas kini rekod pemegang jawatan dan keanggotaan MIC. "Nama Ramalingam tidak dinyatakan dalam surat berkenaan dan langsung tidak terjejas oleh kandungan surat itu," katanya. Dalam surat itu, RoS juga mengambil maklum bahawa Datuk Seri G. Palanivel telah hilang keanggotaan mengikut Perlembagaan MIC. Ramalingam memfailkan permohonan itu bagi memohon deklarasi bahawa surat yang dikeluarkan oleh ROS bertarikh 25 Jun lepas adalah bertentangan dengan Seksyen 16 Akta Pertubuhan 1966. Ahli perniagaan itu juga mendakwa tindakan RoS melucutkan hak asasinya sebagai anggota MIC melanggar Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan. Ramalingam turut memohon deklarasi bahawa surat yang dibuat oleh RoS adalah melanggar Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan selain mendakwa RoS bertindak secara diskriminasi dan berat sebelah dengan segelintir anggota jawatankuasa pusat MIC.