TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menggagalkan cubaan menyeludup masuk 15 tan buah kelapa sawit bernilai RM6,000 menggunakan bot ke daerah ini, Isnin. Komander PPM Wilayah Empat ACP Mohamad Madun berkata berkata buah kelapa sawit itu dirampas dari sebuah bot jongkong yang datang dari negara jiran di perairan Sungai Melayu, dekat sini kira-kira pukul 6 pagi, Isnin. "Anggota PPM yang menjalankan operasi di sekitar perairan itu melihat bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan mendapati bot berkenaan dimuatkan dengan buah kelapa sawit kira-kira 15 tan," katanya menerusi kenyataan. Beliau berkata juragan bot berusia 30 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen yang membolehkan buah kelapa sawit itu dibawa masuk ke negara ini. Mohamad berkata siasatan awal mendapati buah kelapa sawit itu dipercayai dibawa dari Indonesia untuk dipasarkan di daerah ini.